Monday, February 16, 2009

Teknik Penanaman Secara Fertigasi

Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya tomato, cili, timun, terung, melon dan strawberi





Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah. Selain daripada itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg.

Kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran. Air dan larutan baja diberikan secara berkala setiap hari. Larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman.

Teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Selain daripada melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan mengakibatkan pertumbuhan pokok terjejas dan hasil merosot.



Sistem dan Teknik Fertigasi




ALATAN-ALATAN FERTIGASI




Untuk membentuk sistem fertigasi, beberapa peralatan diperlukan :

1. Penitis
2. Pam
3. Tangki
4. Penapis
5. Alat pengatur masa
6. Polipaip

Selain daripada itu, EC meter juga diperlukan untuk mengukur kandungan baja agar bersesuaian dengan tahap tumbesaran pokok.

MEDIA FERTIGASI




Fertigasi adalah daripada keluarga hidroponik. Mengikut takrifan hidroponik, pokok diberi nutrien dan air tanpa menggunakan tanah. Oleh itu, dalam sistem fertigasi, medium yang mudah dicari dan murah akan digunakan di dalam sistem. Paling banyak digunakan oleh pengusaha tanaman sistem fertigasi adalah habuk sabut kelapa atau sekam bakar. Selain daripada itu, medium lain yang boleh digunakan adalah pasir, batu kerikil granit, perlite, vermiculite dan maidenwell diatomite.

Sebaik-baiknya, campuran medium seperti habuk sabut kelapa dan juga sekam bakar (1:1) digunakan untuk memberi pengudaraan dan juga sebagai sokongan kepada akar untuk berpaut di dalam polibeg. Tetapi penggunaan habuk sabut kelapa sahaja atau sekam bakar sahaja juga diamalkan oleh sesetengah pengusaha bergantung kepada kawasan, memandangkan ada sesetengah kawasan yang tidak mempunyai habuk sabut kelapa dan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai sekam bakar.


BAJA FERTIGASI

Dalam sistem fertigasi, larutan baja perlu diberikan kepada pokok sekerap mungkin kerana medium yang digunakan tidak mempunyai nutrien. Pemberian baja perlu diberikan mengikut keperluan pokok untuk mengelakkan pembaziran. Larutan baja yang diberi hanyalah untuk kegunaan pokok dari sesi pertama pemberian baja ke sesi ke dua pemberian baja dalam hari yang sama.

Kandungan Baja Fertigasi :

1. Nitrogen
2. Fosforus
3. Kalium
4. Sulfat
5. Magnesium
6. Mangan
7. Ferum
8. Kuprum
9. Zink
10. Boron
11. Ammonium
12. Molibdenum
13. Natrium
14. Kalsium


STRUKTUR PELINDUNG TANAMAN





Terdapat pelbagai bentuk SPT. Antara bentuk SPT yang terkenal adalah bentuk terowong. Bentuk ini membolehkan atap plastic yang dipasang lebih kukuh dan menggalakkan cahaya matahari masuk secara optimum.Ada juga SPT yang dipasang jaring kalis serangga. Penggunaan jaring kalis serangga dapat mengelakkan tanaman daripada serangan serangga dan tempias air hujan.

Tetapi penggunaan jaring ini akan mengakibatkan suhu di dalam SPT panas dan pengusaha terpaksa melakukan pendebungaan berbantu pada tanaman kerana ketiadaan serangga.
Jika dilihat pada projek-projek fertigasi yang dijalankan oleh pengusaha di Malaysia, kebanyakan mereka tidak membina SPT kerana kos pembinaan SPT yang mahal.

Dengan itu pengusaha terpaksa menggunakan racun kulat dan serangga untuk melindungi tanaman mereka daripada serangan penyakit.

Pihak PUCUK MUDA ingin mengucapkan ribuan terima kasih & penghargaan kepada Syarikat ABI AGRO atas info ini.

Special Thanks to

Sunday, February 8, 2009

Peroleh Tanah

Rakan-rakan Kongsi Pucuk Muda Enterprise telah sepakat untuk menjalankan projek penanaman cabai secara sistematik dan komersil dikawasan Ipoh dekat Kg Sri Klebang Tambahan 2. Oleh itu kerja-kerja penebasan hutan dari semak samun, rumput liar dan lalang sedang giat dijalankan. Tanah ini kosong tiada pembinaan rumah lot dibuat. Dipercayai bekas tapak lombong dan lama terbiar sehingga dipenuhi semak samun. Setelah berbincang dengan Tuan empunya tanah iaitu pakcik kepada salah seorang rakan kongsi PM maka beliau bersetuju untuk menyewakan tanah itu dan memberi kebenaran untuk kami melakukan operasi melapangkan kawasan. Operasi ini diberi nama ops lalang.


Antara visual yang sempat diambil semasa kerja-kerja melapangkan kawasan tanah dijalankan





Keadaan asal tanah kawasan sebelum dilapangkan






Imej dari jauh selepas usaha pemotongan lalang dijalankan





Kerja-kerja penebasan lalang giat dijalankan





Walaupun dibawah panas terik matahari, kerja-kerja tetap diteruskan. All out betul yop ni





Kerja-kerja meratakan permukaan rumput




Hampir keseluruhan rumput liar dan lalang telah dicantas. Nak main bola pun boleh



Begitulah usaha-usaha melapangkan kawasan semak samun giat dijalankan. Operasi ini belum sempurna. Seluruh kawasan baru dilapangkan dalam 50%. Masih ada lagi semak samun yang belum dibuang untuk menampakkan keluasan sebenar tanah itu kerana diliputi dari semak-samun sebelum ini . Memang mencabar maklumlah dah lama tak memesin rumput ni dibawah panas terik matahari. Dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Kalau dilihat dari keluasan tanah 4000 pokok pun boleh ditempatkan.

Friday, February 6, 2009

Meninjau tapak projek

Rakan-rakan kongsi Pucuk Muda Enterprise turun ke padang bagi meninjau lokasi-lokasi untuk dijadikan tempat yang sesuai untuk bertani secara sistematik



Lokasi di sekitar Meru



Tinjaun di lokasi lain dekat Ulu Chepor

SELAMAT DATANG KE PUCUK MUDA ENTERPRISE BLOG

Maka Dengan rasminya PUCUK MUDA ENTERPRISE melancarkan sebuah blog setelah mendaftar selaku sebuah syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia http://www.ssm.com.my/. Laman Blog ini masih di peringkat awal dan sedang melalui proses pembinaan serta akan dikemaskini dari masa ke semasa setelah semua data dan juga perkembangan syarikat di susun.

Blog ini hanyalah untuk memberi sedikit info tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Pucuk Muda Enterprise dalam usaha menyahut seruan " Kembali Ke Bumi ". Inilah dairi Pucuk Muda Ent. Kami mahu segala perjalanan projek ini dari peringkat awal sampailah berjaya nanti ( InsyAllah ) akan dimuatkan dalam blog ini untuk dikongsi bersama oleh pencinta-pencinta hasil bumi.